6.5 Peratus Tidak Layak Dapat Sijil SPM, KPM Nasihat Minta Ambil Semula Peperiksaan Ulangan

0
83
Foto: Sinar Harian

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) menggalakkan pelajar yang tidak layak mendapat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 supaya menduduki semula peperiksaan itu, Ogos depan.

Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan, berkata kementerian itu menggunakan pelbagai mekanisme termasuk memberi kefahaman bahawa masih ada ruang untuk pelajar berkenaan memperbaiki keputusan sedia ada, seterusnya lulus mata pelajaran wajib iaitu Sejarah dan Bahasa Melayu.

“KPM mengambil pelbagai langkah untuk bantu mempermudahkan (pelajar), terutama supaya mereka faham ada peluang dan ruang diberikan untuk mereka mengambil semula peperiksaan.

“Dalam konteks ini untuk membaiki subjek yang mendapat keputusan kurang baik pada bila-bila masa. Proses (melalui Peperiksaan SPM Ulangan) sudah lama berlaku.

“Bila tak layak dapat sijil, maknanya disebabkan tidak lulus mata pelajaran teras sama ada Bahasa Melayu atau Sejarah, masih ada ruang untuk duduki semula peperiksaan. Peperiksaan ulangan ini akan dibuat pada Ogos, jadi ambillah peluang ini,” katanya kepada media selepas melawat program VIP Buyer@PBAKL yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, hari ini.

Hadir sama,Pengerusi Pengelola PBAKL 2024, Mohd Khair Ngadiron dan Ketua Pegawai Eksekutif PKB, Adibah Omar.

KPM ketika mengumumkan keputusan SPM baru-baru ini, memaklumkan kira-kira 24,000 calon atau 6.5 peratus tidak layak menerima sijil atau gagal melepasi penguasaan minimum.

Mengulas lanjut, Azman berkata, KPM ada pelbagai cara untuk mendekati kelompok pelajar terbabit walaupun mereka sudah menamatkan pengajian di peringkat menengah.

“Kita buat pelbagai cara, antaranya melalui hebahan dan promosi (berterusan) walaupun mereka telah keluar daripada sistem persekolahan. Hebahan dibuat oleh KPM dan juga pihak sekolah sendiri. Pihak sekolah boleh buat hebahan misalnya melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang dapat sampaikan maklumat kepada penjaga mereka.

“Selain itu, maklumat sama turut disampaikan biasanya kepada murid di sekolah, kita mengharapkan maklumat ini sampai kepada mereka (pelajar lepasan SPM), mungkin melalui adik mereka yang berada di sekolah rendah atau menengah,” katanya.

Sumber: Buletin TV3

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here