500 Rider P-Hailing Gembira Terima Bantuan Raya, Sanggup Beratur Awal

0
96
Foto: Free Malaysia Today

Kuala Lumpur: Seramai 500 penunggang p-hailing menerima ‘durian runtuh’ apabila Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menyerahkan sumbangan duit raya dan keperluan asas menyambut Aidilfitri.

Tinjauan Harian Metro mendapati, ada penerima datang beratur awal pagi sebelum program penyerahan bermula 9.30 pagi.

Penunggang p-hailing, Zaini Mohamad, 39, dari projek perumahan rakyat (PPR) Jelatek berkata, dia datang seawal 8 pagi bagi memudahkan urusan pendaftaran selain mahu mengambil tempahan pelanggan.

“Saya dapat tahu program ini menerusi kakak sebelum membuat pendaftaran melalui dalam talian dan datang awal hari ini.

“Saya anggap ini rezeki menyambut raya, dapatlah berjimat membeli keperluan raya.

“Selepas selesai pemberian bantuan ini saya terus buka aplikasi untuk ambil tempahan kerana hanya saya bekerja seorang diri memandangkan isteri tidak dapat bekerja atas masalah kesihatan,” katanya ketika ditemui sempena penyerahan sumbangan Aidilfitri di hadapan Pejabat Umno Bahagian Titiwangsa di Desa Pandan di sini, hari ini.

Johari turut hadir menyerahkan sendiri bantuan seperti sumbangan duit raya, biskut, minyak masak serta kordial air kepada 500 penunggang motosikal.

Lebih 500 penunggang p-hailing pelbagai syarikat menerima sumbangan makanan dan duit raya menerusi program bantuan Raya sempena Aidilfitri.

Noraina Nadirah Mad Azahar, 28, pula berterima kasih kepada Johari kerana tidak meminggirkan golongan sepertinya yang mencari rezeki sebagai penunggang p-hailing.

Katanya, bantuan itu sudah tentu meringankan beban keluarga mereka dalam membeli baju raya serta kelengkapan Aidilfitri untuk anak-anak tahun ini.

“Saya bersyukur dengan sumbangan diterima ini dapat jimatkan perbelanjaan saya dan suami dalam menyediakan kelengkapan raya.

“Ini kerana kami tak perlu beli biskut raya dan duit raya diterima bolehlah buat beli baju raya untuk dua anak kami berusia tiga dan lima tahun,” katanya.

Sementara itu, Johari berkata, program kali pertama itu sebagai menghargai golongan yang bekerja dengan syarikat penghantaran.

“Selalunya kita tengok mereka ini tertinggal jadi kita mencari mana-mana penunggang p-hailing di Titiwangsa ini dan panggil mereka hari ini.

“Ini juga salah satu program tambahan kepada bantuan raya yang dibuat di seluruh kawasan Parlimen Titiwangsa,” katanya.

Sumber: Harian Metro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here