50 Pelajar SMK Batu Kikir Diserang Histeria, 165 Penghuni Asrama Diberi Cuti Seminggu

0
77
Foto: Harian Metro

JEMPOL – “Anak saya lihat ada makhluk menyerupai rakan datang dan memanggil mereka ke padang sebelum diserang histeria,” kata ibu kepada dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Kikir (Model Khas), Batu Kikir yang diserang histeria Ahad lalu.

Ibu yang enggan namanya dikenali itu berkata, perkara berkenaan diceritakan oleh dua anak perempuannya kepada ahli keluarga.

Wanita berusia 40-an itu berkata, anaknya itu tidak mengingati kejadian sebenar, namun ketika separuh sedar dia beritahu melihat makhluk menyerupai rakannya yang berada di lokasi sama dan memanggilnya pergi ke padang sekolah.

“Pada mulanya rakannya menjerit, kemudian berjangkit-jangkit kepada orang lain termasuk anak saya sebelum masing-masing menangis. Ada yang tiba-tiba muntah tetapi tiadalah sampai melompat-lompat.

“Mujur ada rakannya sempat menahannya daripada keluar ke padang dan keadaan bagaimanapun agak terkawal dengan bantuan ustaz dan cikgu-cikgu di situ.

“Ada juga pengamal perubatan datang membantu, namun bagi mengelakkan kejadian lebih teruk anak-anak dibenarkan pulang,” katanya kepada pemberita pada Rabu.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan seramai 165 pelajar SMK Batu Kikir (Model Khas) di sini yang tinggal di asrama dibenarkan pulang selama seminggu berikutan berlaku kes histeria sejak Sabtu.

Pelajar yang tinggal di asrama ada 165 orang, bagaimanapun, setakat Ahad, seramai 50 pelajar membabitkan 19 pelajar lelaki dan 31 pelajar perempuan berusia antara 13 hingga 17 tahun mengalami histeria.

Sekolah berkenaan tidak ditutup dan pembelajaran di sekolah adalah seperti biasa, hanya pelajar tinggal di asrama dibenarkan pulang ke rumah masing-masing untuk sementara waktu sehingga keadaan kembali reda.

Dalam pada itu, menurut ibu pelajar berkenaan lagi, kedua-dua anaknya itu buat masa ini keadaan mereka semakin pulih walaupun ada sedikit rasa lemah semangat.

Sumber: Sinar Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here