SILKYARA: Pasukan penyelamat melakukan kerja menggerudi membabitkan kira-kira satu pertiga daripada laluan ke dalam terowong di lebuh raya yang runtuh di India, hari ini untuk membawa keluar 40 pekerja yang terperangkap sejak lima hari lalu.
Sebelum ini, seramai 40 pekerja terperangkap di terowong sepanjang 4.5 kilometer (km) yang runtuh di negeri utara Uttarakhand, Ahad lalu, lapor Utusan.
Pegawai Pengurusan Bencana, Devendra Singh Patwal, berkata kerja menggerudi kini berjaya menembusi kira-kira 21 meter ke dalam terowong namun mereka perlu melalui jarak keseluruhan hampir 60 meter sebelum boleh menemui semua mangsa.
Pasukan penyelamat yang kini berada di dalam terowong memaklumkan semua mangsa yang terperangkap dalam keadaan baik.
Semua mangsa turut dibekalkan dengan makanan, air dan oksigen melalui paip dan pihak berkuasa juga menghubungi mereka melalui walkie-talkie.
Sehingga kini, pihak berkuasa tidak menyatakan punca terowong itu runtuh, namun kawasan terbabit sememangnya terdedah kepada tanah runtuh, gempa bumi dan banjir.
Menurut Utusan, projek terowong itu adalah sebahagian daripada lebuh raya Char Dham, iaitu antara projek mega di bawah kerajaan pentadbiran Perdana Menteri, Narendra Modi.
Sumber: Utusan Malaysia