4 Suspek Pecah Rumah Kieda Crepe Direman, Kerugian Hampir RM800,000

0
59
Foto: Sinar Harian

BUTTERWORTH – Empat individu termasuk dua wanita direman enam hari sehingga 11 Jun ini bagi membantu siasatan berhubung kejadian pecah rumah seorang usahawan pencuci mulut pada 25 April lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Superintenden Zulkeflee Sulaiman berkata, kesemua suspek berusia lingkungan 20 hingga 27 tahun itu ditahan di Jalan Duta, Kuala Lumpur antara jam 9 hingga 10 pagi, Khamis.

Menurutnya, polis turut merampas barangan kemas bernilai RM40,000 dipercayai milik usahawan tersebut.

“Ketika ditahan, kita hanya berjaya merampas barangan kemas bernilai RM40,000 yang mana, kita percaya, suspek telah menjual sebahagian barangan kemas yang telah dicuri.

“Bagaimanapun, siasatan masih dijalankan terhadap empat suspek berkenaan. Mereka akan direman enam hari untuk membantu siasatan.

“Setakat ini, kita belum dapat memastikan hubungan keempat-empat suspek ini, sama ada pasangan kekasih atau suami isteri,” katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Beliau juga tidak menolak akan ada lagi tangkapan untuk membantu siasatan berhubung kes terbabit.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seorang usahawan mengalami kerugian sehingga RM800,000 apabila rumahnya di Kepala Batas telah dipecah masuk penjenayah pada April lalu.

Perkara itu didedahkan oleh Siti Nur Khalieda Yusra iaitu pemilik Kieda Crepe di beberapa platform media sosial miliknya pada malam Ahad lalu selepas 40 hari kejadian berlaku.

Dia yang lebih mesra disapa Kieda berkata, kejadian berlaku pada 25 April lalu, antara jam 8 hingga 11 malam.

Katanya, kejadian tersebut disedari mereka ketika pulang ke rumah selepas selesai berniaga di premis mereka.

Sumber: Sinar Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here