Mawi Teruja Dilantik Timbalan Ketua Biro Perfileman, Rancang Kongsi Pengalaman

0
73
Foto: Beautifulnara

Kuala Lumpur: Penyanyi dan penyampai radio, Mawi ingin memberi tumpuan kepada anak-anak Johor yang berminat untuk menceburi bidang penerbitan filem dan dokumentari.

Hasrat dan rancangan itu diluahkan Mawi atau nama sebenarnya Asmawi Ani, selaras dengan perlantikannya sebagai Sebagai Timbalan Ketua Biro Perfileman dan Dokumentari Dewan Teraju Usahawan & Peniaga Bumiputera Negeri Johor (DTUDPBNJ) pada Jumaat lalu.

“Jawatan itu berkuat kuasa bermula Jumaat minggu lalu. Sebagai Timbalan Ketua Biro Perfileman dan Dokumentari DTUDPBNJ, fokus saya adalah untuk membantu usahawan bumiputera di negeri Johor.

“Sebenarnya, banyak cabang yang disentuh oleh DTUDPBNJ ini termasuklah teknologi maklumat, perdagangan, industri kecil, laut dalam dan juga perfileman.

“Saya punya biro adalah berkaitan perfileman dan juga dokumentari. Jadi, kami akan membantu anak-anak Johor yang berminat dalam karier berkaitan perfileman dan sebagainya,” katanya kepada Harian Metro.

Mawi, 42, berkata, dia juga merancang untuk menganjurkan bengkel berkaitan penerbitan filem dan berkongsi pengalamannya.

“Sebenarnya, ramai yang berminat dan ingin melangkah masuk ke dalam bidang ini. Jadi, kami akan bantu mereka.

“Insya-Allah, dalam minggu depan, saya akan ke Johor untuk memulakan beberapa perbincangan untuk program-program kami.

“Dalam fikiran saya, saya merancang untuk mengadakan bengkel untuk mereka yang berminat.

“Mungkin saya boleh berkongsi pengalaman saya dalam bidang penerbitan memandangkan saya pernah terbitkan beberapa program TV, filem dan dokumentari.

“Pada masa sama juga, mungkin kami boleh mencungkil bakat-bakat baharu untuk berada di hadapan atau belakang tabir,” kata Mawi yang turut memuat naik gambar carta organisasi di Instagram menampilkannya sebagai Timbalan Biro dan diketuai oleh Ketua Biro yang juga pelakon, Betty Banafe.

Terbaharu, Mawi kini dalam proses menyiapkan filem Zim Zim Ala Kazim yang tinggal 30 peratus untuk disiapkan.

“Asalnya, saya hasilkan filem ini untuk tayangan di Astro First. Tapi, selepas mendengar beberapa nasihat kenalan dalam industri, mereka berkata filem ini ada potensi untuk ditayangkan di pawagam.

“Jadi, saya hasilkan dengan pelbagai penambahbaikan untuk tayangan di pawagam. Insya-Allah, hujung bulan ini ia akan siap dan akan ditayangkan pada tahun hadapan,” katanya.

Filem Zim Zim Ala Kazim membariskan barisan pelakon antaranya, dia sendiri, Datuk Mohd Kazim Elias, Rosnah Johari, Ryan Bakery dan ramai lagi.

Sumber: Harian Metro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here