Friday, February 7, 2025
HomeHIBURAN3,200 Penonton Mewarnai Konsert Destiny of Music

3,200 Penonton Mewarnai Konsert Destiny of Music

KUALA LUMPUR: Paduan suara dua pemilik vokal hebat, Aina Abdul dan Ernie Zakri menjadi persembahan kemuncak penganjuran Konsert Destiny of Music yang berlangsung di Dewan Agung Tuanku Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, baru-baru ini.

Gandingan hebat dinamik duo itu berjaya memukau 3,200 penonton yang hadir menerusi lagu Kurik Kundi yang dipopularkan penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Lagu berirama tradisional yang mengetengahkan pelbagai jenis muzik berasal dari beberapa negeri di Semenanjung Malaysia itu disampaikan dengan penuh bertenaga oleh dua penyanyi kesayangan ramai itu. Lebih menarik persembahan diiringi penari yang menggayakan pakaian tradisional negeri masing-masing persis acara Citrawarna.

Berkongsi lanjut mengenai persembahan, Aina memaklumkan lagu hasil ciptaan Allahyarham Pak Ngah itu dinyanyikan tanpa latihan.

“Lagu ini dinyanyikan atas permintaan tuan rumah yang begitu menyukai lagu Kurik Kundi. Jadi, kami tunaikan permintaan mereka.

“Saya dan Ernie tiada sebarang latihan berikutan jadual kerja yang padat. Alhamdulillah, kami mempunyai naluri seorang penyanyi.

“Justeru, bila menyanyi bersama, kami cuba membaca fikiran masing-masing. Saya bersyukur nyanyian kami berjalan lancar,” katanya yang ditemui BH Online selepas konsert berakhir.

Ibarat sirih pulang ke gagang, Ernie yang juga bekas graduan jurusan muzik pusat pengajian itu ‘menyihir’ hadirin dengan vokal hebat tatkala menyanyikan lagu Ku Bersuara, Boneka dan Masing-Masing yang disampaikan dalam versi tradisional. Tampil mengenakan gaun rona biji kundang, persembahan isteri kepada penyanyi Syamel itu mengundang sorakan penonton setiap kali berjaya melepasi nada tinggi untuk setiap lagu yang didendangkan.

Mengenakan busana unik yang menjadi tanda dagangnya, Aina menghangatkan lagi suasana konsert apabila turun dari pentas dan menyanyi bersama penonton yang mengerumuninya. Meskipun dalam keadaan berasak-asak dan perlu melayani permintaan penonton yang ingin merakamkan foto bersama, nyanyian pemilik vokal ampuh itu tetap sempurna.

Sesuai konsep pelbagai jenis muzik yang diketengahkan penganjur, penonton turut disajikan dengan rentak tradisional oleh Haziq Rosebi menerusi lagu Lemak Manis, Zuraidah dan lagu joget, Umpan Jinak Di Air Tenang.

Seperti biasa, penonton akan menjadi penyanyi latar ketika lagu Lemak Manis didendangkan pemilik vokal merdu ini. Puas mendengar irama perlahan, suasana dewan bertukar hangat dengan kehadiran Kugiran Masdo yang sememangnya dinantikan penonton yang kebanyakannya dalam kalangan anak muda.

Buktinya, mereka turut sama menyanyi dan menari mengikut rentak retro yang didendangkan kumpulan yang popular dengan lagu Bercanda itu. Antara lagu didendangkan termasuklah Dinda dan Perih Jerih.

Konsert berdurasi lebih tiga jam itu antara lain turut menampilkan persembahan naib juara Big Stage 2022, Danial Chuer, Rayme Zainal dan barisan penyanyi, pemuzik serta penari UiTM. Dibawakan khas B De Paris Beauty Project dengan kerjasama Pusat Kebudayaan UiTM, Konsert Destiny of Music turut mendapat sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dan UiTM dalam menyemarakkan aktiviti kesenian, kebudayaan dan warisan.

Sesuai konsep berhibur sambil menderma, sebahagian kutipan tiket disumbangkan kepada Tabung Pelajar UiTM.

Sumber – Berita Harian

MADN
MADNhttp://www.medialahmy.com
Media Massa, Netizen Malaysia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

‘Gurauan Berlebihan Boleh Buat Orang Tak Selesa’

0
BUKAN sekadar hidup dilingkungi populariti, golongan selebriti merupakan suri teladan yang seharusnya menjadi contoh baik kepada masyarakat menerusi perkongsian hal bermanfaat. Pelakon Scha Alyahya antara...

CATEGORIES