30 Pelajar Di Kelantan Ditahan Terlibat Kes Dadah

0
64
Foto: Sinar Harian

KOTA BHARU, 24 Oktober- Seramai 30 pelajar di Kelantan ditahan polis kerana terlibat dengan pelbagai kesalahan dadah dalam tempoh Januari hingga Oktober tahun ini, dengan kebanyakan daripada mereka berusia 17 tahun ke bawah.

Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata rata-rata pelajar yang ditahan itu mempunyai latar belakang masalah keluarga serta kurang mendapat perhatian.

Beliau berkata, pihaknya percaya sindiket pengedaran dadah menggunakan pelajar disebabkan golongan tersebut mudah tertarikt dengan kemewahan di samping tertekan akibat perpecahan keluarga.

“Sindiket menjadikan pelajar-pelajar ini sebagai pengedar kecill-kecilan.

“Kebanyakan mereka ditahan mengikut Seksyen 15(1)(a) dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,”katanya.

Menurutnya, Jabatan Pendidikan Negeri turut memainkan peranan penting dengan menyalurkan maklumat mengenai perubahan tingkah laku atau gaya hidup pelajar untuk tindakan dan pemantauan.

Sementara itu, Muhammad Zaki berkata Sabtu lalu polis merampas 54,000 biji pil yaba bernilai RM594,000 dan menahan dua lelaki di Jalan Sultan Yahya Petra dipercayai pengedar dadah di kawasan Kota Bharu.

Beliau berkata kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula 22 hingga 28 Oktober dan kes disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Untuk rekod, Ops Tapis yang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kelantan pada 18 hingga 22 Okt, telah menahan 254 individu berusia 16 hingga 64 tahun serta merampas pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM660,000 dan menyita harta berjumlah RM115,000.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here