26 Atlet Perak Terima Insentif RM24,350

0
53
Foto: Sinar Harian

KERAJAAN Perak memberikan insentif sebanyak RM24,350 kepada 26 atlet yang berjaya mengharumkan nama negeri di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, atlet-atlet yang menerima insentif itu terdiri daripada sukan boling padang, renang, terjun, catur, tinju, tenpin boling, berbasikal, berbasikal para serta satu pasukan kriket wanita.

Menurutnya, melalui pemberian insentif itu diharap dapat memberikan motivasi kepada mereka yang telah mewakili negara dalam pelbagai temasya sukan peringkat antarabangsa.

“Tahniah diucapkan kepada semua atlet yang telah melakar prestasi cemerlang mengharumkan nama negeri dalam pelbagai acara sukan.

“Sesungguhnya bukan mudah untuk anda semua menempa kejayaan gemilang jika tidak dengan usaha, pengorbanan masa, disiplin yang baik serta sokongan, dorongan dan dukungan kuat daripada ibu bapa dan jurulatih,” katanya.

Saarani (dua dari kanan) menyerahkan watikah pelantikan sebagai Chef De Mission kepada Ahmad Suaidi sempena Majlis Penyampaian Insentif Kecemerlangan Sukan Negeri Perak dan Countdown 100 Hari Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak XXI 2024 di Galasa Caldwell pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Penyampaian Insentif Kecemerlangan Sukan Negeri Perak dan Countdown 100 Hari Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak XXI 2024 di Galasa Caldwell di sini pada Rabu.

Sementara itu, Saarani berkata, bagi membantu meningkatkan lagi motivasi kontinjen negeri ke Sukma, setiap Exco kerajaan negeri akan menjadi Exco angkat kepada salah satu pasukan terlibat manakala selebihnya diambil oleh jabatan-jabatan terlibat.

Beliau turut mengingatkan semua atlet terlibat di dalam kejohanan Sukma tersebut supaya menjaga nama baik negeri Perak.

Pada majlis itu, Saarani turut mengumumkan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim sebagai Chef De Mission dan Pegawai Kewangan Negeri Perak, Datuk Mohd Zaki Mahyudin sebagai Timbalan Chef De Mission.

Sumber: Sinar Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here