12 Orang Maut Dihempap Papan Iklan Gergasi

0
50
Foto: Kosmo

NEW DELHI – Seramai 12 orang terbunuh dan sekurang-kurangnya 60 yang lain cedera selepas sebuah papan iklan besar tumbang semasa ribut kuat di bandar raya Mumbai, kata beberapa pegawai semalam.

Sebuah jengkaut digunakan untuk mengalihkan serpihan ketika anggota-anggota penyelamat bertungkus lumus mencari mangsa terselamat. Kejadian di sebuah stesen minyak di timur Mumbai itu turut menyebabkan berpuluh-puluh mangsa terperangkap di bawah runtuhan.

Pegawai Pasukan Tindak Balas Bencana Kebangsaan (NDRF), Gaurav Chauhan berkata, lapan mayat telah dikeluarkan dari bawah timbunan serpihan.

Empat lagi mayat masih tertimbus di bawah runtuhan papan iklan tersebut.

“Kami telah mengesan mayat-mayat tersebut  tetapi kami tidak boleh mengeluarkan mereka  kerana faktor lokasi kejadian iaitu stesen minyak dan keadaan boleh bertukar berbahaya,” katanya.

Terdahulu, pihak berkuasa tempatan menyatakan, 60 orang telah diselamatkan dan dimasukkan ke hospital.

Papan iklan yang runtuh itu berukuran 70 meter kali 50 meter, demikian menurut catatan di platform X oleh polis Mumbai.

Mumbai dilanda angin kencang bersama hujan dan ribut debu pada Khamis lalu,  mengakibatkan pokok tumbang di beberapa kawasan di kota raya tersebut, manakala bekalan elektrik terputus seketika.

Cuaca buruk itu turut menyebabkan perkhidmatan kereta api tergendala.

Menurut media tempatan, sejumlah penerbangan di lapangan terbang antarabangsa Mumbai ditangguhkan buat  sementara dengan sekurang-kurangnya 15 pesawat dilencongkan.

Timbalan Ketua Menteri Negeri Maharashtra, Devendra Fadnavis berkata, mangsa yang cedera masih dirawat di Hospital Rajawadi.

“Siasatan peringkat tinggi telah diarahkan,” kata Devendra dalam catatan di laman X. – AFP

Sumber: Kosmo

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here